Duduk di rumah dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak membataskan seorang pembantu pejabat sebuah hospital swasta di sini mengambil inisiatif membantu petugas barisan hadapan dan orang ramai yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19.

Bagi Eddy Irwan Mahmud, 37, atau dikenali sebagai ‘Mohd Sabtu’ di laman sosial Facebook, dia mempunyai cara tersendiri membantu mereka yang terkesan seperti memasak burger pada hujung minggu dan meletakkan 30 pek susu formula kanak-kanak setiap hari di hadapan rumahnya di Halaman Meru Permai, di sini untuk mereka yang memerlukan.

“Saya mendapati ramai yang terkesan semasa PKP ini sehingga ada yang terputus bekalan makanan dan gaji pun tiada...daripada situ, datang idea ini untuk membantu orang-orang yang dalam kesusahan.

"Kalau hendak membantu beli barangan dapur mungkin terlalu ramai yang telah memberikan sumbangan, maka saya mencari kaedah lain seperti memasak burger selain menyediakan susu formula terutama bagi membantu bayi atau kanak-kanak memerlukan,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Eddy Irwan berkata beliau menawarkan bantuan itu dengan memuat naik status di laman Facebook menerusi kumpulan ‘Food Hunterz’ selain menyasarkan lebih 70 penduduk sekitar kawasan perumahan itu menerima manfaat menerusi usahanya.

“Kebiasaannya saya akan memaklumkan di dalam kumpulan ‘Food Hunterz’ sekiranya saya mahu memasak ‘burger’. Ada hari saya memasak 200 biji ‘burger crispy’ manakala susu formula saya sediakan jenama Dumex-Dugro bagi anak berusia setahun hingga enam tahun.

"Ia sedikit sebanyak dapat membantu keresahan ibu bapa yang mempunyai anak kecil yang terputus bekalan susu formula,” katanya.

Selain menggunakan duit sendiri, Eddy Irwan berkata pemberian susu formula dan memasak burger adalah hasil dana yang dikumpulkan bersama ahli kumpulan ‘Food Hunterz’ serta sumbangan individu prihatin dengan nasib orang ramai yang terjejas sumber pendapatan berikutan PKP.

“Saya gembira kerana dapat meringankan beban masyarakat dan usaha ini antara khidmat saya membantu negara dalam keadaan getir seperti ini,” katanya.

-- BERNAMA