KUALA LUMPUR : Ibu bapa memainkan peranan penting dalam menghidupkan suasana Hari Raya Aidilfitri norma baharu buat anak-anak mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Pakar Psikologi, SEGi University, Prof Datin Dr Mariani Md Nor, walaupun dalam pandemik COVID-19, mewujudkan suasana Aidilfitri itu penting buat anak-anak agar mereka tidak terlalu tertekan dengan keadaan semasa.

Jelasnya, tradisi memberi duit raya yang kini berubah kepada pemberian melalui pemindahan akaun bank  dapat mewujudkan budaya menabung dalam kalangan anak-anak.

"Dalam keadaan sekarang ini, apa yang perlu ibu bapa buat ialah 'raya tetap raya'. Kita perlu memberitahu anak-anak kecil mengenai sambutan raya tahun ini.

"Kita belikan baju raya bagi yang berkemampuan, masakkan juadah kegemaran mereka, belikan bunga api, di sini kita menyediakan persekitaran Hari Raya seperti sebelum COVID-19.

"Ia seolah-olah sambutan raya masih wujud walaupun tidak boleh balik kampung dan suasana Hari Raya itu masih wujud. Dari segi aspek duit raya, jika dulu kita beri sampul sekarang ini melalui pemindahan akaun juga dapat mewujudkan budaya menabung," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Selasa.

BACA: PKP seluruh negara: Ini 11 perkara penting yang anda perlu tahu

BACA: PKP di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun


Kesan psikologi terhadap kanak-kanak apabila beraya di rumah

Pada masa sama, beliau turut menuntut ibu bapa untuk menjelaskan keadaan semasa terutamanya beraya dalam keadaan norma baharu.

"Kalau kita lihat dalam norma baharu berhari raya, anak-anak ini juga merindui sentuhan dan kasih sayang dari nenek, pakcik, makcik dan saudara mara yang lain.

"Untuk pastikan emosi mereka tidak terganggu sehingga menjejaskan rutin harian mereka, ibu bapa perlu menjelaskan dengan sebaiknya kepada anak-anak mereka," ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai memberi reaksi terhadap kesan psikologi terhadap kanak-kanak selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 12 Mei ini. 

Ia sekali gus menyaksikan ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini adalah tidak dibenarkan.