Seramai 158 individu ditahan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersayart (PKPB), pada Sabtu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PDRM turut mengeluarkan kompaun kepada 457 individu atas pelbagai kesalahan ingkar PKPB.

“Daripada jumlah tersebut, 288 kompaun yang dikeluarkan di balai polis, (manakala) sebanyak satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan ziarah Aidilfitri.

“Sebanyak 169 kompaun dikeluarkan di lapangan dan daripada jumlah itu sebanyak 144 kompaun dikeluarkan di sekatan jalan raya,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Tambah Ismail Sabri, Perak merekodkan negeri tertinggi menerima kompaun atas kesalahan cubaan merentas negeri iaitu sebanyak 42.

Ia diikuti dengan negeri Selangor sebanyak 32 kompaun, manakala Pulau Pinang dan Johor masing-masing 24 kompaun.

“Jadi, nampaknya masih ada lagi yang cuba membuat rentas negeri pada hari raya ketujuh (dan) kelapan,” katanya.