NATIONAL
PKPB: 31 kompaun dikeluarkan kerana ziarah pada hari raya kedua

Sebanyak 153 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri telah diadakan di seluruh negara, dengan 102,852 kenderaan diperiksa. Gambar fail/ Bernama
Meskipun larangan aktiviti ziarah pada Syawal kedua sudah dikeluarkan, namun masih ada segelintir yang berdegil dengan 31 kompaun dikeluarkan pada Isnin.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, notis itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan 489 kompaun yang dikeluarkan atas pelbagai kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pada hari raya kedua.
Daripada jumlah itu, 102 kompaun dikeluarkan di balai polis di seluruh negara, manakala 387 dikeluarkan di luar termasuk pada sekatan jalan raya.
"Ramai yang kata mengapa keras sangat tindakan polis... ziarah Aildilfiri pun diberikan kompaun.
"Namun, daripada keseluruhan, mereka yang mengingkari perintah yang dikeluarkan ini amat kecil berbanding keseluruhan rakyat yang lain (yang patuh arahan).
"Saya kira tindakan ini terpaksa dilakukan, kerana kita telah memberi pelbagai amaran sebelum tindakan diambil," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata polis turut menahan 65 individu kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKPB, dengan 57 daripada mereka direman manakala lapan lagi dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, sebanyak 153 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri telah diadakan di seluruh negara, dengan 102,852 kenderaan diperiksa.
"Semalam (Isnin) juga, sebanyak 738 kenderaan yang cuba merentas negeri dengan alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik oleh polis. Jumlah ini berkurangan berbanding 1,243 pada hari sebelumnya.
"Negeri yang mencatatkan cubaan rentas negeri untuk pulang ke kampung tertinggi adalah Selangor dengan 317 kes; Melaka (89) dan Kedah (80)," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami