PUTRAJAYA:Pekerja yang menyalahgunakan surat kebenaran bekerja ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk melakukan aktiviti lain boleh dikenakan tindakan tatatertib, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Majikan boleh mengambil tindakan sekiranya mereka ini melanggar tatatertib, menyalahgunakan surat dan sebagainya apabila melakukan perkara yang bukan dituntut dalam perkhidmatan mereka," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bagi penjara di Zon Utara dan Selangor berikutan penurunan kes COVID-19.

Bagaimanapun, katanya atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), MKN bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Seberang Perai dan kuarters kakitangannya kerana masih ada kes COVID-19 dikesan di kawasan itu.

“PKPD bagi Penjara Seberang Perai dan kuarters akan dilanjutkan hingga 18 November,” katanya.