MALAYSIA
Forum al-Falah MADANI diperluas ke seluruh negara - Mohd Na'im

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Datuk Mohd Na'im Mokhtar berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi di jabatan itu anjuran YADIM di Auditorium JAKIM, hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Forum al-Falah MADANI akan diperluas ke seluruh negara sebagai platform libat urus strategik antara agensi agama dan masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar.
Ringkasan AI
- Forum al-Falah MADANI Dijadikan Program Berkala Nasional: Forum ini akan diperluas ke seluruh negara sebagai platform strategik antara agensi agama dan masyarakat, dengan ketua agensi bergilir menyampaikan amanat berdasarkan kerangka Transformasi Hal Ehwal Islam.
- Santuni al-Falah MADANI: Inisiatif Kebajikan Berstruktur Program ini diterajui YaPEIM sebagai penyelaras utama untuk menyelaraskan bantuan kepada golongan asnaf secara lebih tersusun dan mengelakkan pertindihan.
- Selari dengan Teras Kedua Pelan Transformasi al-Falah: Inisiatif ini menekankan kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam, serta berfungsi sebagai payung penyelarasan kepada pelbagai program kebajikan sedia ada.
"Ketua agensi boleh bergilir-gilir menyampaikan amanat dan gagasan masing-masing berdasarkan kerangka Transformasi Hal Ehwal Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Agensi Hal Ehwal Agama di sini hari ini.
Mohd Na'im berkata forum itu juga mampu meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai pelbagai isu semasa, meleraikan kekeliruan serta mendekatkan rakyat dengan kepimpinan tertinggi agensi agama.
Bagi menyahut agenda nasional kerajaan dalam meringankan beban rakyat menghadapi cabaran sosioekonomi, beliau mencadangkan semua agensi Hal Ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri berganding bahu menggerakkan inisiatif bersama dikenali "Santuni al-Falah MADANI: Agenda Kesejahteraan Sosial Ummah".
Mohd Na'im ketika ditemui pemberita berkata program Santuni al-Falah MADANI akan diterajui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang turut berperanan sebagai penyelaras utama.
"Kita memang sudah ada program seperti ziarah asnaf dan pemberian bantuan, tetapi penyelarasan sebelum ini agak kurang. Dengan adanya program Santuni al-Falah MADANI ini, ia akan menjadi lebih berstruktur dan selaras," katanya.
Mohd Na'im berkata aspek penyelarasan amat penting bagi memastikan segala bentuk bantuan disalurkan memberi manfaat maksimum kepada golongan asnaf dan mengelakkan pertindihan program oleh pelbagai agensi.
Beliau berkata inisiatif itu juga selari dengan Teras Kedua: Kesejahteraan Insan dalam Pelan Transformasi al-Falah, yang menekankan aspek kemampanan ekonomi dan kebajikan sosial Islam.
Menurutnya, program itu mampu berfungsi sebagai payung penyelarasan kepada pelbagai program kebajikan sedia ada, agar lebih tersusun, berstruktur dan memberi impak lebih besar kepada masyarakat khususnya golongan asnaf.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami