Semua pengusaha restoran dan premis makanan di negeri Perak mesti mengambil langkah persediaan, sebelum kerajaan negeri memutuskan untuk membenarkan semula pelanggan makan di premis.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri juga sedang menubuhkan pasukan khas di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seluruh negeri bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan di restoran dan premis makanan.

Ujarnya, pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) turut merangkumi taman rekreasi awam yang telah ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Mengambil kira keperluan mengimbangi antara kepentingan ekonomi dan aktiviti sosial serta ancaman penularan pandemik COVID-19, pentadbiran kerajaan negeri akan memastikan semua pihak berkepentingan mampu mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan," ujar beliau.

Itu menurutnya, perlu diambil kira sebelum membenarkan pelanggan untuk makan di restoran atau premis makanan, dan membuka semula taman-taman rekreasi awam kepada orang ramai.

"Amalan norma lama seperti jumlah pengunjung yang padat di semua taman rekreasi di seluruh Perak pada waktu riadah, tidak lagi sesuai untuk diteruskan dalam normal baharu.

"Justeru, kerajaan negeri perlu memastikan PBT mempunyai pasukan penguatkuasa mencukupi untuk ditempatkan di taman-taman rekreasi awam bagi tujuan pemantauan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Ahad, Perak memutuskan untuk menerima pakai SOP pembukaan ekonomi yang diumumkan kerajaan Persekutuan.

Ini adalah selari dengan satu panduan am dan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan dalam satu majlis mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang diadakan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri sebelum ini.

Bagaimanapun, setelah memperhalusi sektor-sektor yang berisiko tinggi terhadap penularan jangkitan COVID-19, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri telah memutuskan penangguhan operasi terpilih bagi sektor makanan dan sektor sukan dan rekreasi.

Bagi sektor makanan, semua restoran, warung, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan (berbumbung/kiosk), kenderaan saji (food truck), penjaja beredar dan penjaja tepi jalan dibenarkan untuk beroperasi tetapi hanya untuk tujuan bungkus dan penghantaran.

Makan di premis tidak dibenarkan sama sekali, selain itu Pasar Segar Terkawal tanpa premis contohnya pasar pagi juga tidak dibenarkan, termasuk aktiviti riadah di taman rekreasi awam.