KUCHING : Sarawak melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijadualkan tamat pada 16 Mac ke satu tarikh baharu iaitu, 29 Mac ini.

Perkara itu dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam sidang media di Kuching.

"Setelah melihat dan menilai situasi kes positif di Sarawak yang masih tinggi, JPBN Sarawak telah memutuskan untuk melanjutkan PKPB di Sarawak, berkuat kuasa 16 Mac 2021 jam 12.01 pagi hingga 29 Mac 2021 jam 11.59 malam. Iaitu selama 14 hari," kata beliau.

Dalam pada itu, Uggah turut mengumumkan penamatan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2, Sibu.

"Hari ini JPBN Sarawak telah menamatkan tempoh PKPD di Skim Penempatan Semula Sentosa Fasa 2, Sibu memandangkan keputusan saringan kedua tidak mendapati sebarang kes positif yang baharu.

"Di samping itu juga tiada bukti yang menunjukkan jangkitan masih menular di kawasan tersebut," tambahnya dalam sidang media yang sama.

Antara yang turut dimaklumkan oleh Uggah termasuk pertambahan tiga kluster baharu. Kluster-kluster tersebut adalah Kluster Jalan Main Bazaar di Sri Aman, Kluster Buluh Pasi di Meradong dan Kluster Sena di Miri.

"Kluster Jalan Main Bazaar merupakan satu kluster komuniti yang telah berlaku di sebuah kampung di Jalan Main Bazaar, di Daerah Sri Aman melibatkan sebuah keluarga yang kemudian merebak melibatkan pelajar sekolah di sebuah sekolah menengah di Sri Aman.

"Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-9,908 seorang wanita berumur 52 tahun yang telah dikesan melalui saringan pra-pembedahan di Hospital Umum Sarawak pada 01 Mac 2021," jelas Uggah.

Sementara, berkenaan dengan Kluster Buluh Pasi, ianya melibatkan sebuah rumah panjang di Sungai Buluh, Jalan Pasi, Meradong dalam Bahagian Sarikei Sarawak.

"Kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-7,689 yang telah dikesan melalui saringan di tempat kerja atas inisiatif aktif majikan beliau.

"Hasil siasatan lanjut dan pengesanan kes secara aktif melibatkan kes indeks ini, tambahan 20 kes baharu positif COVID-19 telah dikesan termasuk tiga kes baharu pada hari ini," kata beliau.

Pengenalan Kluster Sena di Miri pula melibatkan kontak rapat kepada kes indeks di Lorong Sena di Desa Senadin, Permyjaya dan dua buah rumah panjang di Daerah Subis.

Maklum Uggah, kes indeks kepada kluster ini adalah kes ke-8,866 yang merupakan seorang wanita tempatan, berumur 47 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala pada 24 Februari 2021.

Dalam perkembangan sama, menurut beliau, hari ini Sarawak merekodkan pertambahan 173 kes baharu. Daerah Sibu kekal mencatatkan angka tertinggi.

"71 kes dicatatkan di Sibu, Miri (19), Bintulu (16), Kuching (15), Meradong (10), Serian (9), Julau (7), Kapit dan Tanjung Manis (5), Betong (3), Belaga, Mukah, Subis dan Telang Usan (2).

"Manakala, satu masing-masing di Dalat, Samarahan dan Sarikei (1)," ujarnya.

Pertambahan angka-angka ini katanya menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu meningkat kepada 12,051.