Kerajaan negeri Melaka mengambil keputusan untuk membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di negeri ini bermula 29 Mei depan, kata Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil.

Dalam kenyataan pada Khamis, beliau berkata keputusan itu dicapai hasil Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka yang bersidang pada Rabu.

Beliau berkata hanya 40 jemaah dibenarkan hadir menunaikan solat Jumaat, namun jumlah tersebut tertakluk kepada perkembangan semasa dan pertimbangan daripada Majlis Keselamatan Negara.

Sehubungan itu, beliau berkata pihak pengurusan masjid hendaklah mengambil langkah kawalan yang perlu bagi memastikan kesihatan dan keselamatan jemaah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Tiada solat Jumaat pada 15 Mei dan 22 Mei di seluruh negeri Melaka sebaliknya digantikan dengan solat Zuhur di rumah sendiri," katanya.

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka juga memutuskan tiada solat sunat Aidilfitri diadakan di masjid pada 1 Syawal, sebaliknya solat itu diadakan bersama keluarga di rumah masing-masing.

Pada sidang media di sini semalam, Abdul Halim berkata jumlah 40 jemaah itu akan ditentukan ahli lembaga di setiap masjid di negeri ini selain mengambil kira keluasan masjid bagi memberi keselesaan dan menjaga keselamatan mereka.

Beliau berkata jemaah yang dipilih untuk mendirikan solat akan diberi jemputan khas oleh ahli lembaga masjid dan sistem penggiliran akan digunakan agar setiap yang layak dapat menunaikan ibadah itu.

"Kita mempunyai kira-kira dua minggu untuk melihat pertimbangan ini dan tertakluk kepada pihak keselamatan negeri khususnya jumlah jemaah yang dibenarkan selain kebenaran daripada Kementerian Kesihatan dengan syarat pelaksanaannya mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Beliau berkata individu atau jemaah yang dipilih bergantung kepada beberapa kriteria antaranya mereka yang berusia 15 hingga 65 tahun dan mestilah bebas daripada sebarang risiko atau komplikasi penyakit sebagai langkah keselamatan.

Katanya mereka yang diundang perlu membawa sendiri sejadah, berwuduk di rumah, memakai topeng hidung dan mulut, selain pihak masjid perlu menyediakan pensanitasi tangan, mengamalkan jarakan sosial satu meter antara setiap jemaah, merekodkan nama jemaah yang hadir dan melakukan proses nyah kuman sebelum serta selepas solat Jumaat.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata situasi berkenaan khususnya sistem penggiliran yang dilakukan itu diharap tidak menimbulkan kemarahan, rasa tidak puas hati atau persepsi negatif dalam kalangan umat Islam, sebaliknya mereka perlu berlapang dada kerana usaha yang dilakukan ini adalah demi kemaslahatan masyarakat.

-- BERNAMA