KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor berkuatkuasa hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di kesemua mukim terbabit.

"Kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di negeri Selangor yang dijadualkan tamat pada hari ini, 16 Julai 2021.

"Sidang Khas MKN telah meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di kesemua mukim yang terbabit," jelasnya dalam kenyataan media pada Jumaat.

Terdahulu pada 3 Julai lalu, PKPD mula dilaksanakan di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti tertentu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selama 14 hari sehingga 16 Julai.

Selain itu turut diumumkan penamatan PKPD membabitkan beberapa lokaliti lain termasuk di Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd, Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur dan Asrama Pekerja di Kuala Muda, Kedah, berkuatkuasa esok. 

PKPD di beberapa kawasan di Sabah termasuk di Kampung Pantai Emas, Kota Belud dan Kampung Iban Kuala Nansang di Tawau dan Kampung Babagon di Penampang turut ditamatkan esok. 

Di Pulau Pinang, penamatan PKPD esok membabitkan Taman Nagasari dan Mukim 6, Seberang Perai Tengah. 

Di Negeri Sembilan, penamatan PKPD di Taman Desaria akan dilaksana pada Ahad. 

Dalam pada itu, tambah Ismail Sabri, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di 14 lokaliti di Pahang, empat di Selangor dan masing-masing tiga di Sabah dan Sarawak bermula 18 Julai sehingga 31 Julai depan.

"Sidang Khas MKN telah meneliti pembentangan KKM dan setelah mengambil kira penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, telah bersetuju mengenakan PKPD di lokaliti-lokaliti berikut," jelasnya lagi.

Berikut lokaliti PKPD akan dilaksanakan bermula 18 sehingga 31 Julai 2021:

Pahang:

- Tanjung Lumpur, Kuantan

- Peramu, Kuantan

- Anak Air, Kuantan

- Sg Derhaka, Kuantan

- Kempadang, Kuantan

- Sg Soi, Kuantan

- Kg Pahang, Kuantan

- Taman Seri Inderapura, Kuantan

- Taman Indera Sempurna, Kuantan

- Taman Tas & Pandan, Kuantan

- Sungai Isap, Kuantan

- Lorong Seri Teruntum, Kuantan

- Taman Impianku, Kuantan

- Taman Chengal, Temerloh

Selangor:

-Damai Apartment, PJS 8, Mukim Damansara, Daerah Petaling

-Jalan Pandan Indah, Mukim Ampang, Daerah Hulu Langat

-Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Mukim Klang, Daerah
Klang

-Taman Samudera, Mukim Batu, Daerah Gombak

Sabah:

- Ladang Sawit KLK Lungmanis dan Perumahan Kilang, Mukim
Silabukan, Lahad Datu

- Kampung Pinolobuh Bukid, Kota Belud

- PPR Taman Ehsan, Kudat

Sarawak:

- Kampung Seratau, Kuching

- Kampung Astana Lot, Kuching

- Kampung Sungai Bedil Besar, Kuching

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan pelanjutan PKPD di Kampung Siasai Dundau, Kota Belud dan Kampung Naruntung, Pitas di Sabah.

Pelanjutan PKPD itu berkuatkuasa 18 Julai sehingga 31 Julai depan.