KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah dilanjutkan sehingga 26 Mac 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat sejumlah 322 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan dan masih terdapat kes positif baharu dilaporkan dalam lokaliti ini.

"KKM telah melaksanakan 674 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 81 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah bermula 13 Mac sehingga 26 Mac 2021," katanya dalam kenyataan media harian, hari ini.

Sementara itu, PKPD di Penempatan Sentosa Timur Fasa 2, Sibu, Sarawak, ditamatkan esok, mengikut jadual.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,311 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 13 kes telah dilaporkan.

"KKM mengesahkan terdapat penurunan kes, kluster adalah terkawal dan kesemua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan," katanya.