KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Gayang, Tuaran dan Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk, daerah Sandakan, Sabah bermula 10 April sehingga 23 April nanti.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan keputusan melaksanakan PKPD di empat lokaliti di Sabah itu dibuat sebagai usaha menyekat penularan jangkitan dari kawasan berisiko ke luar lokaliti ini serta membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian saringan secara bersasar ke atas semua penduduk.

Beliau menjelaskan, di Kampung Gayang, KKM telah melakukan 38 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak lima kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM juga mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh seminggu di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Gayang, Tuaran, Sabah bermula 10 April sehingga 23 April 2021," katanya dalam satu kenyataan perkembangan PKP pada Jumaat.

Manakala di Institut Latihan Perindustrian (ILP), Taman Permata dan Taman Seri Labuk KKM telah melakukan 88 ujian saringan di ILP dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak tujuh kes positif COVID-19 telah direkodkan.

"KKM juga telah melaksanakan sembilan ujian saringan di Taman Permata dan sebanyak lima kes positif telah direkodkan manakala lima kes juga dilaporkan di Taman Seri Labuk hasil daripada enam ujian saringan.

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di ketiga-tiga lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi," katanya lagi.