KUALA LUMPUR: Tujuh lokaliti, masing-masing empat di Sabah, dua di Kelantan dan satu di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Rabu ini hingga 28 Sept.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Majlis Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad berkata di Sabah, lokaliti terlibat ialah dua di Kota Kinabalu iaitu Kampung Warisan dan Rumah Pangsa Tanjung Aru serta masing-masing satu di Kalabakan (Kilang Fu Yee, Brantian) dan Kota Marudu (Kampung Rugading).

Beliau berkata PKPD di Kelantan melibatkan dua lokaliti di Mukim Pengkalan Kubur, Tumpat iaitu Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Simpangan manakala di Pahang pula ialah Kampung Paya Pelong, Kerdau di Temerloh.

"Prosedur operasi standard (SOP) bagi kesemua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini," menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook hari ini.

Rodzi juga berkata PKPD di dua lokaliti, masing-masing satu di Sabah iaitu Kampung Lotong, Kota Marudu dan Pahang (Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong, Raub) yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan hingga 28 Sept ini.

Beliau berkata dua lokaliti yang dikenakan PKPD di Sabah iaitu Kampung Hidayat, Batu 4 di Tawau dan Kampung Penangah di Tongod ditamatkan esok seperti dijadualkan.

PKPD di tiga lokaliti di Lata Rek, Mukim Olak Jeram, Kuala Krai, Kelantan yang membabitkan Kampung Lata Tuai, Kampung Tok Uban dan Kampung Kubang Kerian turut tamat esok mengikut jadual.

-- BERNAMA