KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan untuk menamatkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di enam lokaliti sebelum ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, penamatan itu berkuat kuasa pada 25 Jun 2021 dan dua daripadanya ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan.

Penamatan PKPD itu melibatkan dua lokaliti di Sarawak dan masing-masing satu lokaliti di Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati trend kes di lokaliti berkenaan menurun dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif telah menerima rawatan.

BACA: Politeknik Sultanah Bahiyah antara tujuh lokaliti dikenakan PKPD

Empat lokaliti ditamatkan PKPD mengikut jadual ialah Kampung Tajin di Kuala Berang, Terengganu, Ladang Tereh Mill di Kluang, Johor dan Kampung Kolong 2 di Kuching, Sarawak.

PKPD di tiga taman perumahan di Temerloh, Pahang membabitkan Taman Temerloh Jaya, Taman Temerloh Jaya Indah dan Taman Temerloh Makmur turut ditamatkan mengikut jadual.

Manakala, PKPD di Kampung Lakai di Jelebu, Negeri Sembilan dan termasuk empat Rumah Panjang di Mukah, Sarawak ditamatkan lebih awal daripada dijadualkan.