KUALA LUMPUR: Dua lokaliti di Kedah dan lima di Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 Jun 2021 sehingga 9 Julai 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, dua  lokaliti yang dikenakan PKPD di Kedah ialah Politeknik Sultanah Bahiyah di Kulim dan Kawasan Perindustrian Bestgrade di Pokok Sena

Menurutnya, lima lokaliti lain yang turut dikenakan PKPD adalah di Sabah iaitu Penjara Tawau serta Kuarters Penjara Taman Ehsan, Kampung Muhibbah di Menggatal dan Kampung Kuala Merotai di Kalabakan.

PKPD turut dikuatkuasakan di Kampung Tahak, Membakut dan Flat Indah Jaya di Sandakan.

Menurut Ismail Sabri, pelaksanaan PKPD bertujuan untuk memastikan penduduk yang berisiko dijangkiti COVID-19 kekal berada dalam kawasan.

Tegasnya, prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Berdasarkan kenyataan daripada Ismail Sabri, kadar kebolehjangkitan di tiga lokaliti iaitu Kawasan Perindustrian Bestgrade, Kampung Muhibbah dan Kampung Kuala Merotai dilihat agak tinggi.

Sebanyak 27 kes positif COVID-19 telah dikesan hasil saringan ke atas 38 individu dikesan di Kawasan Perindustrian Bestgrade manakala 12 daripada 18 orang dikesan positif di Kampung Muhibbah.

Di Kampung Merotai pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 26 ujian saringan dan 13 daripadanya disahkan positif dengan kadar positiviti 50 peratus.