KUCHING:Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Maong, Kuching dan Taman Univista, Kota Samarahan.

Menurut kenyataan JPBN Sarawak pada lewat petang Selasa, keputusan melaksanakan PKPD itu selepas pihaknya membuat penilaian risiko setelah kes positif di dua kawasan terbabit meningkat.

"Pelaksanaan PKPD di dua kawasan itu berkuat kuasa 17 Februari (12.01 tengah malam) hingga 2 Mac 2021 (11.59 malam)," kata kenyataan itu.

Sementara itu, tinjauan awal Astro AWANI di Kampung Sungai Maong mendapati keadaan di kampung itu terkawal.



Ketua Kampung Sungai Maong Masni Morri berkata, pergerakan penduduk dilihat berkurangan selepas mereka mengambil langkah berjaga-jaga susulan terdapat kes positif di kampung itu.

Katanya, kawalan ketat juga dilakukan di pintu masuk ke kampung berkenaan termasuk laluan alternatif menggunakan sungai.

"Kita telah maklumkan kepada jawatankuasa kampung berhampiran untuk memberitahu penduduk mereka untuk tidak mengunjungi Kampung Sungai Maong terutama mereka yang menggunakan pengangkutan air.



"Perkara ini penting bagi mengelak penularan COVID-19 dan penduduk kampung diharap memathui arahan serta SOP yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Terdahulu, JPBN Sarawak memaklumkan enam kluster baharu direkodkan di negeri itu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 21 kluster.

Kluster baharu termasuk Kluster Geronggang dan Mas Merah di Sibu; Kluster Taman Univista di Samarahan; Kluster Kampung Sungai Maong di Kuching; Kluster Gelong di Kapit dan Kluster Kidurong Dua, Bintulu.

 Kenyataan media JPBN Sarawak.