KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Guru, Jalan Gambang, Kuantan, Pahang bermula 27 Mac 2021 hingga 9 April 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk serta mengawal pergerakan dan penularan jangkitan dalam komuniti.

"Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 178 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 63 kes positif COVID-19 telah direkodkan. 

"KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes secara mendadak di lokaliti ini dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat. 

Dalam pada itu, kerajaan juga bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Batu Gong dan Kampung
Chupak, Daerah Kecil Siburan, Sarawak bermula 27 Mac hingga 9 April 2021. 

"Sehingga 25 Mac 2021, sejumlah 50 kes positif COVID-19 telah dilaporkan di Kampung Batu Gong.
Manakala 338 ujian saringan juga telah dilakukan di Kampung Chupak dan daripada jumlah itu sebanyak 57 kes positif telah direkodkan, 41 didapati negatif serta 240 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan," ujarnya.