KUALA LUMPUR:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Penjara Jelebu, kuarters kakitangan di Negeri Sembilan, Pusat Koreksional Johor Bahru dan kuarters kakitangan serta Dewan Arena Segitiga Taman Desa Sejahtera Mukim Kota Tinggi dilanjutkan bermula 11 sehingga 24 Januari 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia dilakukan atas nasihat dan penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KKM mengesahkan masih terdapat sebanyak 803 baki sampel saringan yang sedang menunggu keputusan di Penjara Jelebu dan Kuarters Kakitangan Penjara Jelebu, Negeri Sembilan.

Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,694 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 459 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokasi berkenaan.

Sementara itu, KKM turut mengesahkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 dalam kalangan penghuni di Pusat Koreksional Johor Bahru dan Kuarters Kakitangan, Batu 19 Jalan Ulu Choh-Pontian, Johor Bahru ini masih lagi tinggi dan banyak kes baru dikesan selepas saringan kedua dilaksanakan.

Bagi di Dewan Arena Segitiga, Lot 19094, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi, Johor pula, KKM mengesahkan kadar positiviti di lokaliti ini sangat tinggi dan kes terakhir yang direkodkan adalah pada 8 Januari 2021.

KKM juga telah melaksanakan 171 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 164 kes positif COVID-19 telah direkodkan.

Dalam pada itu kata Ismail, PDRM telah menahan 372 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dan kesemuanya dikompaun.

"Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (105), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (95), tidak memakai pelitup muka (93), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (76) dan lain-lain (3)," jelasnya.

Jelasnya lagi, Operasi Benteng telah berjaya menahan 26 PATI serta merampas sembilan buah kenderaan darat.

Tambah Ismail, sebanyak 113 Sekatan Jalan Raya (SJR) dilaksanakan.

Dalam pada itu, sebanyak 39 operasi sanitasi meliputi 22 zon merah, empat zon kuning dan dua zon hijau yang melibatkan sembilan buah negeri dan tiga Wilayah Persekutuan.

Ujarnya, seramai 8,172 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan dengan 92,446 individu telah dibenarkan pulang.