KOTA KINABALU:Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penematan Telipok di daerah ini dilanjutkan sehingga 13 Disember depan susulan kes aktif yang tinggi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, berdasarkan penilaian risiko dan nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), PKPD di lokaliti itu yang dijadual tamat pada 29 November ditangguhkan selama 14 hari.

"Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok, Kota Kinabalu selama 14 hari lagi bermula 30 November sehingga 13 Disember.

"Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok bermula 16 November dan dijadual berakhir hari ini.

"Sehingga 27 November, KKM mengesahkan masih terdapat 109 kes aktif di Kampung Numbak manakala 136 kes aktif di Penempatan Telipok.

"Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, terdapat ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang perlu menjalani ujian saringan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dianggarkan hampir 21,000 penduduk berada di kedua-dua lokaliti terbabit yang dikaitkan dengan Kluster Numbak yang dikenal pasti pada 9 November lalu.

Sementara itu, menurut Masidi, jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah pada Ahad adalah sebanyak 290 kes iaitu penurunan 186 kes daripada 476 kes yang direkodkan pada Sabtu.

Katanya saringan kontak rapat masih mencatatkan angka tertinggi selain saringan kluster baharu dan kluster sedia ada.

"Daripada 290 kes positif COVID-19 hari ini, 128 kes atau 44.14 peratus adalah berpunca daripada saringan kontak rapat, 90 kes atau 31.03 peratus adalah daripada saringan kluster baharu dan sedia ada, saringan bergejala (23), saringan komuniti (11) dan 38 kes adalah dari lain-lain kategori.

"Terdapat satu kluster baharu di daerah Kota Kinabalu iaitu Kluster Batu Lima mencatatkan sebanyak 27 kes berkaitan dengan saringan kontak di Kilang Besi.

"Saya juga ingin mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat kerana satu kes kematian direkodkan hari ini di daerah Tawau," katanya.