KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuarters Sri Jelutung, Mukim Bebar, Pekan bermula 6 sehingga 19 Mac ini, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri Kanan Pertahanan itu menjelaskan, ia disebabkan 30 kes positif telah direkodkan dan seramai 150 kontak rapat telah dikenal pasti yang melibatkan penghuni kuarters itu sehingga 3 Mac.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di lokasi berkenaan.

"Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas penghuni kuarters terbabit serta mengesan beberapa lagi kontak rapat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu Ismail turut mengumumkan penamatan PKPD di taman-taman perumahan sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang pada 6 Mac seperti yang dijadualkan.

Jelasnya, KKM telah melaksanakan 1,573 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 94 kes positif COVID19 telah direkodkan.

KKM mengesahkan terdapat penurunan kes serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Sementara itu ujar Ismail Sabri, seramai 246 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 234 dikompaun dan 12 direman.

"Antara kesalahan yang direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (94), tidak memakai pelitup muka (55), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (37),  tiada penjarakan fizikal (29), aktiviti pusat hiburan (16), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (13) dan lain-lain (2)," katanya.

Dalam pada itu, seramai 7,516 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 68 didapati positif.

Secara kumulatif, seramai  575,295 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19.

Daripada jumlah ini, seramai 9,138 orang telah disahkan positif.