PUTRAJAYA: Aktiviti perniagaan di bawah sektor perdagangan pengedaran yang melibatkan barang keperluan asas dan perkhidmatan perlu, dibenarkan beroperasi di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim di Selangor dan lokaliti di Kuala Lumpur, terhad kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kebenaran beroperasi itu membabitkan premis pasar raya atau pasar raya besar, yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi dan penjagaan diri.

Ia juga membabitkan kedai serbaneka; kedai runcit; kedai farmasi atau penjagaan diri; restoran atau kedai makan; kedai penjagaan haiwan atau makanan haiwan; perkidmatan e-dagang bagi semua kategori produk; serta pemborongan dan pengedaran bagi kategori produk perkhidmatan perlu sahaja.

"Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah bagi premis pasar raya, kedai farmasi, kedai serbaneka dan kedai runcit, mewajibkan had jumlah pelanggan dalam satu-satu masa, mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan seorang bagi setiap empat meter persegi.

"Bagi restoran atau kedai makan, 'dine-in' tidak dibenarkan, manakala kedai penjagaan haiwan atau makanan haiwan, hanya aktiviti jual beli produk penjagaan dan makanan haiwan sahaja dibenarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nanta berkata, premis perniagaan yang menjalankan perniagaan secara e-dagang, hanya dibenarkan untuk operasi pembungkusan dan penghantaran sahaja, tertakluk kepada waktu operasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, waktu operasi pemborongan dan pengedaran bagi kategori produk perkhidmatan perlu serta operasi kedai serbaneka di stesen minyak, tertakluk kepada PBT.

"Perincian lain mengenai operasi perkhidmatan perlu di bawah sektor perdagangan pengedaran, adalah tertakluk kepada Jawatankuasa Keselamatan Negeri Selangor dan Jawatankuasa Penyelarasan dan Pengurusan Covid-19 (CCMC), Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, Nanta menyeru kepada semua pengguna terutama di kawasan PKPD, supaya tidak melakukan pembelian panik dan berlebihan bagi mengelakkan gangguan bekalan di premis-premis jualan.

Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna setiap hari, bagi memastikan keberadaan bekalan barangan keperluan asas di semua negeri.

"Kementerian yakin dan memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan di seluruh negara, tetap stabil dan mencukupi sepanjang tempoh PKPD ini," katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur selama 14 hari, bermula esok (3 Julai) hingga 16 Julai.

-- BERNAMA