KOTA KINABALU:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan sebanyak 2,609 saringan di Taman Telipok Ria, Tuaran pada 22 November dan merekodkan sebanyak 253 kes positif COVID-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata susulan keputusan tersebut kerajaan mengambil keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu bermula 27 November hingga 10 Disember.

Katanya, ia membabitkan kira-kira 18,000 penduduk.

"Sehingga kini, masih terdapat 581 sampel saringan yang menunggu keputusan.

"Pelaksanaan PKPD ini melibatkan kawasan seluas 229,459 meter persegi dengan 3,400 unit rumah dan 18,000 orang penduduk," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Menurut Masidi lagi, PKPD di tiga kampung di Kudat yang bermula 31 Oktober lalu akan ditamatkan pada 26 November ini.

Kampung terbabit adalah Kampung Pengaraban, Kampung Tg Kapor
dan Kampung Landung Ayan.

Penamatan itu katanya, berdasarkan penilaian risiko dan saringan oleh KKM yang mendapati kes positif COVID-19 di kawasan tersebut telah menurun dan terkawal.

"KKM telah melaksanakan sebanyak 3,084 ujian saringan dan sebanyak 345 kes kumulatif positif COVID-19 telah direkodkan di ketiga-tiga lokaliti.

"Walau bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Sabah yang sedang berkuat kuasa,"katanya

Pada Rabu jumlah kes positif baharu COVID-19 di Sabah adalah sebanyak 293 kes dan dengan dua kematian direkodkan di Sandakan.

Satu kluster baharu direkodkan di Lahad Datu iaitu Kluster D’Bajaru yang mencatatkan sebanyak 56 kes hasil saringan komuniti di Kampung Dasar Baru dan Kampung Desa B.