PETALING JAYA: Suasana meriah dengan percikan bunga api serta laungan ucapan terima kasih dan merdeka antara yang dapat dilihat saat kawat duri di kawasan Mentari Court, Petaling Jaya dibuka tepat jam 12 malam tadi.

Ia sebagai tanda Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi terbabit ditamatkan.

Sebahagian penghuni pangsapuri itu turut dilihat memancarkan lampu daripada tingkap rumah masing-masing sebagai simbolik meraikan ‘kebebasan’ mereka.

Pegawai Daerah Petaling Datuk Johary Anuar berkata, pihaknya mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menamatkan PKPD di kawasan ini lebih awal.

Justeru, penamatan PKPD di kawasan berkenaan dilakukan selepas semua saringan kesihatan dan pemberian vaksin selesai dijalankan.

"Sebahagian besar penduduk di dalam kawasan Mentari Court ini telah disaring dan mereka yang didapati positif telah asingkan.

"Walaupun mereka telah diberikan vaksin, kita berharap penduduk di sini amalkan SOP yang telah ditetapkan kerajaan supaya kita dapat menlandaikan lekuk jangkitan wabak COVID-19 ini," katanya ketika ditemui di pangsapuri Mentari Court malam tadi.

  Pihak berkuasa membuka kawat duri di kawasan Mentari Court setelah PKPD ditamatkan. - Astro AWANI

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Jelasnya, seramai 9,504 penghuni menjalani saringan kesihatan sepanjang 12 hari perlaksanaan PKPD.

Daripada jumlah itu, 5,797 individu menjalani saringan Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dengan 419 individu disahkan positif atau 7.2 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Manakala, seramai 6,178 individu atau 65 peratus menerima suntikan vaksin.

Daripada jumlah itu, seramai 6,102 orang diberi dos petama, dan 76 individu lagi menerima dos kedua.

Beliau turut memaklumkan, seramai 2,876 individu tidak diberikan vaksin kerana sudah menerimanya lebih awal.

Penduduk yang berusia di bawah 18 tahun, mempunyai masalah alergi ubat dan menghidap penyakit lain tidak menerima vaksin dalam tempoh itu.

Menurut Pegawai Perubatan Daerah Petaling, Dr R Sudeash, buat masa ini hanya pesakit COVID-19 tahap 3 dan 4 dipindahkan ke hospital manakala pesakit tahap 1 dan 2 diasingkan dan dipantau di pangsapuri itu.

Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) turut diwujudkan bagi mengenal pasti penduduk yang memerlukan rawatan lanjut di hospital atau hanya perlu menjalani kuarantin di rumah sepanjang tempoh itu.

Hasil penilaian CAC, hanya 68 individu yang dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Untuk rekod, kemudahan bagi pelbagai rawatan sama ada kes COVID-19 atau bukan COVID-19 disediakan kepada 395 penduduk sepanjang tempoh PKPD.