Seramai 14 warganegara asing ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan imigresen sepanjang Ahad.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penahanan itu dilakukan menerusi 65 sekatan jalan raya Operasi Benteng (Op Benteng) di seluruh negara.

Katanya, hasil daripada Op Benteng, sebanyak 36,001 kenderaan diperiksa bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin terutamanya di lorong-lorong tikus.

"Op Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Ismail Sabri berkata orang ramai boleh melaporkan sebarang aktiviti kemasukan atau pencerobohan ke hotline National Task Force di talian 011-6251 1223.

Sementara itu, kata beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat saringan ke atas 22,076 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, daripada jumlah itu, 21,998 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan
proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing.

"78 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.

"PDRM juga membuat 1,365 pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) home quarantine dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menambah, seramai 1,062 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui KLIA dan KLIA2 dari beberapa negara termasuk Indonesia, Taiwan, Qatar dan Singapura.

"Seramai 1,061 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala seorang individu telah dibawa ke hospital," katanya lagi.