Sebanyak 70,190 pemeriksaan telah dilakukan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada pemeriksaan tersebut, PDRM telah menahan 29 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP dimana 8 individu telah direman manakala 21 individu dikenakan kompaun.

Menurut beliau, tiga individu ditahan akibat aktiviti dalam pub atau kelab malam manakala 13 individu yang lain melakukan kesalahan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial.

Sementara 13 lagi individu terlibat kesalahan ingkar PKP akibat aktiviti melanggar SOP.

"Sebanyak 4,358 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 16,422 anggota telah membuat pemantauan di 4,183 pasar raya, 5,987 restoran serta 1,377 penjaja, 1,494 kilang, 3,614 bank dan 841 pejabat kerajaan.

"Manakala 1,195 terminal pengangkutan darat, 250 terminal pengangkutan air serta 164 terminal pengangkutan udara telah dipantau oleh Task Force Operasi Pematuhan," kata beliau dalam kenyataan yang diedarkan.

Dalam kenyataan itu juga Ismail menjelaskan, Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19.

"PDRM telah membuat 68 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 43,598 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI terutamanya di lorong-lorong tikus.

"PDRM telah berjaya menahan 7 warganegara asing kerana kesalahan imigresen," katanya lagi.

Kerajaan juga, kata Ismail Sabri, akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.