Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memberi jaminan kepada pengembara bahawa lapangan terbangnya adalah selamat dan bersedia dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menyaksikan aktiviti pelancongan dan penerbangan domestik dibuka semula.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata situasi di negara ini yang semakin pulih antaranya melibatkan penularan COVID-19, pemulihan dan pengurusan, serta kelonggaran sekatan pergerakan dijangka meningkatkan aktiviti perjalanan berbanding bulan sebelumnya.

"Hasrat utama kami adalah untuk memudahkan aliran penumpang yang selamat kepada tetamu yang tiba dan berlepas.

"Bermula daripada langkah penjarakan sosial yang tegas sehingga memastikan kesediaan peralatan perlindungan diri, kami menjadi pelengkap kepada protokol baharu rakan syarikat penerbangan kami," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut MAHB, penumpang turut dilindungi aspek kesihatan dan keselamatan tambahan berikutan mereka boleh melalui pengalaman tanpa sentuh di lapangan terbang dengan pelaksanaan teknologi pengecaman wajah, imbasan keselamatan tanpa sentuh di pemeriksaan keselamatan dan pelindung kawalan bersin di kaunter.

"Pegawai pematuhan keselamatan di lapangan akan membuat rondaan di terminal untuk memastikan penjarakan sosial diamalkan secara bertanggungjawab oleh penumpang pada setiap masa," katanya.

Sementara itu, pengendali lapangan terbang itu berkata ia bekerjasama rapat dengan peruncit untuk memastikan kawasan itu disanitasi, dan pada masa yang sama menggesa pelaksanaan pembayaran elektronik sepenuhnya menerusi aplikasi pembayaran mudah alih.

"Kami menyokong rakan runcit kami untuk membuka semula kedai mereka secara selamat. Selain Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai sanitasi dan pemeriksaan suhu badan, susun atur kedai turut diubah untuk melaksanakan penjarakan sosial," kata Mohd Shukrie.

Untuk meningkatkan kecekapan dan keberkesanan langkah pembasmian kuman, Mohd Shukrie berkata pada masa ini, jawatankuasa khas COVID-19 yang terdiri daripada pengurusan lapangan terbang, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan berkaitan, berhasrat melaksanakan teknologi cahaya ultraungu (UV) dan automasi yang akan dipasang di tempat tumpuan ramai penumpang seperti tandas, kaunter tuntutan bagasi dan pelepasan imigresen.

"Robot cahaya UV akan digerakkan di kawasan awam untuk memastikan pembasmian kuman dilaksanakan di seluruh terminal," katanya.

MAHB kini menguruskan dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

Lapangan terbang di Malaysia itu terdiri daripada lima lapangan terbang antarabangsa, 16 lapangan terbang domestik dan 18 landasan pendaratan dan pelepasan jarak pendek (STOL).

--BERNAMA