Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan PDRM telah membuka sebanyak 266 kertas siasatan berhubung berita palsu berkaitan COVID-19, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu, sebanyak 172 masih dalam siasatan, manakala 30 kes telah didakwa di mahkamah, 12 lagi diberikan notis amaran, 13 dalam proses perbicaraan dan 17 telah mengaku bersalah.

Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius dan tidak akan berkompromi terhadap penyebaran berita palsu dan PDRM serta SKMM akan terus membuat pemantauan ketat terhadap penyebaran berita palsu.

"Pada masa yang sama, sebanyak 351 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas (PRP) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Ahad.

Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati sebelum menyebarkan sebarang kandungan yang diragui kesahihannya dan boleh menyalurkan maklumat kepada PRP di talian 03-8911 5103 atau layari www.sebenarnya.my untuk menyemak kesahihan berita.

Katanya, sehingga Ahad 12 Julai 2020, jumlah layaran portal SEBENARNYA.MY telah mencecah lebih 163 juta.