Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendedahkan laporan polis untuk mengukuhkan bukti kewujudan kejadian bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan undi.

“Kenyataan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memperlekehkan kejadian terputus bekalan elektrik semasa pengiraan undi amatlah dikesali.

“Aduan-aduan ini dipersendakan kononnya dilakonkan terlebih dahulu dan mencabar agar laporan polis dikemukakan kepada SPR,” jelas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam satu sidang media di ibu pejabat parti berkenaan.

Rafizi telah mengemukan satu salinan laporan polis berhubung kejadian bekalan elektrik terputus di Sekolah Sri Lindungan Raja Sedim di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Bharu kira-kira jam 7.15 petang.

“Kita telah berjaya menjejaki satu insiden gangguan bekalan elektrik yang disertakan dengan laporan polis.

“Saya fikir Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah bekerjasama dalam hal ini kerana TNB telah membuat kenyataan tiada gangguan bekalan elektrik di tempat mengundi.

“Dengan adanya saksi dan laporan polis sebegini secara langsung menjawab cabaran SPR yang mahu melihat laporan polis dibuat," kata Rafizi.

Rafizi juga mengingatkan sebuah laporan polis adalah sesuatu yang tidak boleh dipantang enteng.

“Mereka (pengadu) yakin perkara ini benar-benar berlaku. Mereka memberi keterangan. Dalam kes ini mereka yang mengemukakan laporan diminta untuk membuat akuan bersumpah.

“Maknanya dua keterangan berkenaan dapat mengukuhkan lagi pertuduhan yang dibuat,” jelas Rafizi.

Dalam sidang media itu juga, Rafizi turut mendedahkan SPR ada mengeluarkan Borang 10A di Kuala Kedah dan Machap yang bertujuan menghalang seseorang pengundi bagi menjalankan tanggungjawabnya itu.

“Borang 10A ini baru dilaksanakan seiring penggunaan dakwat kekal bertujuan mengelak pengundian berganda.

“Dalam kes ini memang sukar mendapatkan Borang 10A. Selalunya Ketua Tempat Mengundi (KTM) enggan mengeluarkan Borang 10A.

“Dengan pemberian Borang 10A ini mengesahkan kewujudan pengundi hantu. Hanya di Parlimen Kuala Kedah dan DUN Machap, KTM menjalankan tugas dengan cukup baik sekali,” ujar Rafizi.

Borang 10A hanya dikeluarkan atas empat sebab iaitu pengundi enggan menunjukkan jari, pengundi enggan jarinya dicalitkan dengan dakwat kekal, jari pengundi telah dicalit dengan dakwat kekal dan terdapat tanda kertas undi telah dikeluarkan kepada pengundi.