Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari membuat saranan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat syor-syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya.

Menurut Timbalan Presiden parti itu, Azmin Ali, cadangan tersebut adalah bagi memastikan tidak berlakunya penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan perlaksanaan pilihan raya.

“Perihal ini adalah untuk memastikan syor-syor yang dibuat berpaksi kepada prinsip yang adil dengan landas sistem demokrasi berperwakilan,” kata Azmin.

Antara kriteria yang akan patut ditelitikan oleh badan ini adalah quota pilihan raya, kaedah 5%, saiz geografi, geografi pertimbangan khas, sempadan kerajaan tempatan, sempadan kawasan yang sedia ada dan hubungan tempatan, kata Azmin.

Azmin hari ini juga menyifatkan langkah kerajaan untuk untuk memindahkan kawal selia SPR di bawah kuasa dan kawal selia sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen sebagai ‘bukti terdapat kelemahan dalam proses pilihan raya’ di Malaysia.

PKR juga menuntut agar cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.

“KEADILAN sekali lagi menuntut SPR untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik,” kata Azmin dalam kenyataan tersebut.

PKR juga mengulangi tuntutan mereka agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan yang mana mereka mendakwa tindakan itu mampu memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

“Oleh kerana itu, KEADILAN bersama - sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,” kata beliau lagi.

Kerajaan pada Sabtu telah mengumumkan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai ahli parlimen kerajaan dan pembangkang sebagai langkah memperkukuhkan kewibawaan serta kredibiliti SPR.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata fungsi dan kawal selia SPR akan dipindahkan kepada jawatankuasa khas tersebut dan berharap dengan langkah ini, kebebasan badan tersebut tidak dipersoal lagi selain dapat mengukuhkan keyakinan rakyat.

Sementara itu, penasihat DAP Lim Kit Siang kata pengumuman Najib merupakan satu langkah yang baik. Tetapi, beliau juga berkata kerajaan BN haruslah berinteraksi dengan ahli parlimen pembangkang dalam hal ini.

Dalam laporan hari ini, Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub keraguan terhadap langkah kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas.

Salahuddin berkata bahawa terdapat banyak cadangan oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai reformasi pilihan raya yang tidak dilaksanakan sebelum ini.

Beliau juga berkata, satu Suruhanjaya Siasatan Diraja juga perlu ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13.