Kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan dijangka naik lima peratus mulai tahun hadapan, sekiranya Plus Malaysia Berhad (PLUS) mendapat persetujuan kerajaan.

Pengarah Urusan Projek PLUS, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata, berdasarkan perjanjian konsensi, PLUS sepatutnya dibenarkan menaikkan kadar tol menjelang 2016.

Tambahnya, keputusan ini bergantung kepada kerajaan kerana kerajaan belum lagi mengumumkannya.

“Sama ada bagi PLUS boleh mendapat kenaikan tapi kalau ikutkan perjanjian konsensi memang PLUS sepatutnya naik pada tahun hadapan,tapi naiknya tak banyak lima peratus sahaja bersamaan 0.68 sen satu kilometer. Ini bermakna kalau orang yang travel 100 kilometer mereka akan membayar 70 sen sahaja lebih daripada biasa ... tak banyak.”

Beliau berkata kenaikan itu selaras dengan perjanjian yang menetapkan kenaikan kadar tol sebanyak lima peratus setiap tiga tahun sekali bagi tempoh 2016 hingga 2038.

Jelas Noorizah, kenaikan perlu dilakukan secara berperingkat.

Menurut beliau, kenaikan ini bertujuan untuk mengelakkan PLUS daripada menanggung beban kerana tiada kenaikan harga tol dibuat dari tahun 2005 hingga sekarang.

“Keperluan memang ada ... sebab itu dalam perjanjian konsensi kita menganggarkan keperluan yang masa-masa akan datang sebab kos makin hari makin meningkat, bukan? Jadi, di atas peningkatan kos yang terpaksa kita tanggung disebabkan itu dalam perjanjian konsensi telah dimaktubkan kenaikan berperingkat secara berperingkat.”

Tambahnya, selama ini PLUS terpaksa menanggung kenaikan kos susulan tiada kenaikan kadar tol.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penyampaian kelengkapan sekolah di Sekolah Kebangsaan Ayer Hitam di Jerlun, Kedah.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dalam satu kenyataan bertulis di Dewan Rakyat baru-baru ini memaklumkan PLUS berhak mengkaji semula kadar tol setiap tiga tahun sehingga kontraknya berakhir pada 2038.

Katanya berdasarkan perjanjian konsesi tambahan PLUS yang ditandatangani pada November 2011, kerajaan dan PLUS Expressway Berhad (PEB) bersetuju memutuskan tiada kenaikan kadar tol di semua lebuh raya di bawah kendalian Plus bagi tempoh lima tahun dari 2011 hingga 2015.

Bagaimanapun Rosnah berkata kadar tol di Jambatan Pulau Pinang kekal sehingga 31 Dis 2038.