HANGZHOU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengakhiri lawatan kerja selama tiga hari ke China pada Khamis dengan perbincangan diplomatik peringkat tinggi di Hangzhou dan menghadiri Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima.
Pada hari terakhir lawatan beliau melibatkan pertemuan dua hala peringkat tinggi dengan Perdana Menteri China Li Qiang di West Lake State Guest House, memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk meneliti projek-projek dua hala dan meneroka kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad pada Isnin berkata pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan beberapa perkara bagi memperkukuh hubungan dua hala di bawah kerangka Perkongsian Strategik Komprehensif sejajar dengan aspirasi membina Komuniti Strategik Malaysia-China Bertaraf Tinggi dengan Masa Depan Bersama dan inisiatif Presiden Xi Jinping mengenai Inisiatif Pembangunan Global (GDI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI).
Anwar dan delegasinya akan turut menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan oleh Li.
Dalam usaha memperkukuh integrasi ekonomi, memacu kerjasama perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI) dan meningkatkan pelaburan berteknologi tinggi, Perdana Menteri dijadualkan menyampaikan ucaptama di GDTE, yang menyaksikan penyertaan Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat bersama-sama Hungary.
Anwar turut dijadualkan merasmikan Pavilion Malaysia di GDTE, yang akan menjadi platform bagi padanan perniagaan, pertukaran teknikal dan peluasan pasaran, menghubungkan syarikat teknologi Malaysia dengan rakan niaga dan pembeli berpotensi di China dan rantau lebih luas.
Ini merupakan penyertaan pertama Malaysia dalam ekspo itu.
Diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou, ekspo selama lima hari itu merupakan antara platform ekonomi digital utama China yang mengetengahkan AI dan kerjasama global.
Tiba di Shanghai pada Selasa, Anwar diiringi delegasi termasuk Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
-- BERNAMA