BUKIT KAYU HITAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kesungguhan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin untuk menyelesaikan konflik di selatan negara itu.

Menurutnya, Malaysia akan berperanan sebagai fasilitator dalam membantu usaha tersebut.

Jelasnya, Malaysia mempunyai tanggungjawab besar untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak bertanggungjawab dalam memberikan jaminan keselesaan dan kebebasan kepada penduduk di selatan negara itu.

“Kita juga ada sedikit masalah umpamanya, sedikit ketegangan di selatan Thailand.

“Yang itu walaupun dalam negara Thailand, kita bertangunggjawab untuk bekerjasama supaya dapat meredakan ketegangan itu dengan meminta jaminan keselesaan hidup dan kebebasan bagi rakyat selatan Siam untuk mengamalkan agama mereka, budaya dan juga bahasa tertakluk kepada peraturan dan undang-undang Thailand.

“Saya lihat ada kesediaan Perdana Menteri Thailand bersungguh-sungguh memberikan penyelesaian dan kita hanya akan jadi fasilitator membantu yang diketuai oleh mantan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao dan tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia bersama Perdana Menteri Thailand, pada Isnin.

Astro AWANI pada Isnin melaporkan kerajaan Thailand menamakan Chatchai Bangchuad sebagai ketua perunding mewakili kerajaan dalam dialog damai Selatan Thailand.

Portal Bangkok Post melaporkan beliau bakal menggantikan Jeneral Wanlop Rugsanaoh yang mengakhiri mandatnya ekoran perubahan dalam kerajaan susulan pilihan raya umum pada Mei lalu.

Chatchai kini menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Agung Majis Keselamatan Negara Thailand.