MALAYSIA
PM Anwar arah MCMC siasat kenyataan penafian Muhyiddin terkait dakwaan subsidi RON95

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berkata, ia susulan penafian oleh Muhyiddin terkait dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyiasat kenyataan penafian Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri mengarahkan MCMC menyiasat penafian Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan mempertahankan hak warga asing dalam isu subsidi RON95.
- Muhyiddin menafikan tuduhan tersebut sebagai fitnah dan menegaskan dasar subsidi minyak hanya untuk rakyat Malaysia, bukan warga asing.
- Perdana Menteri membidas pembangkang kerana tidak membaca kenyataan ketua mereka sendiri, dan menyatakan kenyataan Muhyiddin mempersoalkan bebanan terhadap warga asing yang turut menyumbang kepada negara.
“Sebagai kerajaan yang menjunjung ketelusan dan bertanggungjawab, Perdana Menteri telah mengarahkan MCMC untuk menyiasat perkara ini serta mengambil tindakan sewajarnya,” kata kenyataan itu.
Pada Selasa, Muhyiddin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya beliau mempertahan warga asing untuk turut menerima subsidi petrol RON95.
Tegas Muhyiddin, tuduhan tersebut merupakan satu pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
“Saya sebenarnya tidak pernah cakap begitu. Saya mempertikaikan dengan sekeras-kerasnya kenyataan itu sebagai satu kenyataan berfitnah atau pembohongan.
"Apatah lagi yang memberikan penjelasan itu ialah Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) di dalam Parlimen,” katanya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di laman sosial.
Beliau menambah, sejak dahulu lagi dasar subsidi minyak negara hanya diperuntukkan kepada rakyat Malaysia bukannya warga asing.
Sehubungan itu, Muhyiddin mempersoalkan sumber yang dirujuk Anwar ketika membuat kenyataan tersebut di Dewan Rakyat.
Penafian Muhyiddin itu menyusul susulan Perdana Menteri sebelum itu membidas tindakan pembangkang yang disifatkannya tidak membuat persediaan sewajarnya sebelum menghadiri sidang Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata, terdapat dalam kalangan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) sendiri yang tidak membaca kenyataan dikeluarkan oleh pengerusi gabungan itu, Muhyiddin.
“Yang Berhormat tak baca kenyataan ketua sendiri iaitu Ahli Parlimen Pagoh. Lain kali baca dulu sebelum datang Parlimen, jangan pakai hentam kromo sahaja.
“Baca kenyataan YB Pagoh yang mempersoalkan mengapa kerajaan bebankan orang asing sedangkan orang asing juga memberi sumbangan kepada negara,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami