Skip to main content

Malaysia

PM Anwar bertemu Ketua Menteri, Gabenor Keralam bincang kerjasama dua hala

KERALAM, 13 Sept - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Calicut pada 4.56 petang waktu tempatan (7.26 malam waktu Malaysia) bagi memulakan bahagian kedua dan terakhir rangka lawatan kerja lima hari beliau di India. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
--fotoBERNAMA
Advertisement

KERALAM (INDIA): Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Keralam V. D. Satheesan dan Gabenor Rajendra Vishwanath Arlekar di Calicut, yang juga dikenali sebagai Kozhikode, hari ini untuk membincangkan kerjasama dua hala antara Malaysia dengan Keralam.

Perbincangan berkenaan dijangka menumpukan beberapa bidang utama termasuk perdagangan dan pelaburan, pelancongan, penjagaan kesihatan serta pendidikan.

Lawatan Anwar buat julung-julung kali ke Keralam sebagai Perdana Menteri bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan meneroka kerjasama strategik dalam sektor utama termasuk perdagangan dan pelaburan, ekonomi digital, bakat dan tenaga kerja serta kesalinghubungan serantau.

Selain itu, Perdana Menteri juga dijadualkan mengadakan pertemuan dan sesi libat urus dengan tokoh industri serta tokoh korporat India, yang dijangka membuka peluang baharu bagi kerjasama dan pelaburan.

Jadual Anwar hari ini turut merangkumi sidang akhbar bersama dengan media Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerja lima hari ke India.

Selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18 di New Delhi, Anwar tiba di Calicut pada Ahad untuk agenda kedua dan terakhir lawatan kerja lima hari di India.

Perdana Menteri tiba di New Delhi pada Jumaat untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang dianjurkan oleh Perdana Menteri India Narendra Modi.

Hubungan diplomatik moden antara Putrajaya dengan New Delhi terjalin pada 1957, tidak lama selepas Malaysia mencapai kemerdekaan, dan India kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Selatan, dengan jumlah perdagangan bilateral mencecah USD18.55 bilion (RM79.33 bilion) pada 2025.

Selepas menamatkan lawatan ke Keralam, Perdana Menteri dijadualkan berlepas ke Maldives, hari ini.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement