Skip to main content

Malaysia

PM Anwar komited bantu selesai isu tanah Orang Asli Kampung Sungai Cot - Kamil Munim

IPOH, 28 Mac -- Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, bercakap pada sidang media sempena Program Karnival Kita Madani X Program Madani Rakyat (PMR) 2.0 2026 Peringkat Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS) hari ini.
Muhammad Kamil berkata perdana menteri akan mengangkat isu tersebut kepada perhatian Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan penyelesaian dicapai segera. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi membantu menyelesaikan pertikaian tanah membabitkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran, Pahang.

Setiausaha Politik kepada Anwar sebagai Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata perdana menteri akan mengangkat isu tersebut kepada perhatian Kerajaan Negeri Pahang bagi membolehkan penyelesaian dicapai segera secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

Beliau berkata Anwar mengambil maklum isu tersebut susulan pertemuan wakil masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot bersama Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA) di kediaman rasmi Perdana Menteri semalam, malah turut menghubungi wakil masyarakat itu bagi mendengar sendiri permasalahan dihadapi mereka.

“Perdana Menteri menegaskan perkara itu akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri Pahang memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada kerajaan negeri dalam urusan tanah. Namun begitu, beliau tidak pernah berdiam diri,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Muhammad Kamil berkata dalam keghairahan segelintir pihak meraih keuntungan politik, fakta serta prinsip Perlembagaan tidak seharusnya diputarbelitkan sehingga mengelirukan rakyat kerana tindakan itu bukan sahaja tidak membantu masyarakat Orang Asli bahkan boleh melambatkan usaha mencari penyelesaian.

Sehubungan itu, beliau menyeru Kerajaan Negeri Pahang supaya segera melaksanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasanya kerana hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli tidak boleh terus terkesan akibat kelewatan membuat keputusan.

“Mereka berhak memperoleh penyelesaian yang adil, bermaruah dan tanpa penangguhan,” katanya. 

Jumaat lepas, Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook menyatakan akan membincangkan isu pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Cot, Maran bersama Kerajaan Negeri Pahang memandangkan ia di bawah bidang kuasa negeri.

Sebelum ini, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dilapor menzahirkan rasa simpati dan dukacita terhadap isu pertikaian tanah itu, malah turut mempelawa mana-mana keluarga daripada masyarakat Orang Asli berkenaan yang memerlukan petempatan untuk berpindah tinggal di tanah milik baginda di Kuala Wau, Maran.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement