PM Anwar lancar 'I LITE U' malam ini, pacu TMM 2026

Sekitar Jalan Sultan Ismail, Bukit Bintang yang dilimpahi cahaya sempena Majlis Peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestariam Bandar “ I LITE U “ yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang di sini malam ini bagi merasmikan peluncuran Projek Inovasi Pencahayaan "I LITE U" yang bermatlamat memperkukuh kelestarian bandar.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Projek Inovasi Pencahayaan "I LITE U" di Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang, untuk memperkukuh kelestarian bandar dan menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
- Pelancaran yang dihadiri oleh Anwar turut disertai oleh beberapa menteri termasuk Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, Hannah Yeoh, dan Datuk Seri Tiong King Sing, serta Duta Muhibah UNDP Tan Sri Michelle Yeoh.
- Program "I LITE U" melibatkan penggunaan lampu LED yang cekap tenaga untuk mencerahkan sekitar Bukit Bintang, dengan tujuan memperindah landskap bandar dan menyokong agenda bandar rendah karbon.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; beberapa timbalan menteri serta pemenang Anugerah Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh yang juga Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP).
Orang ramai daripada pelbagai kaum memenuhi sekitar Pavillion seawal jam 6 petang bagi memeriahkan pelancaran "I LITE U" itu.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Tahun Melawat Malaysia 2026, diikuti persembahan kebudayaan serta tayangan video khas.
Program malam ini turut diserikan dengan perarakan besar-besaran melibatkan 16 kontinjen serta persembahan artis terkenal tempatan.
"I LITE U" melibatkan laluan utama sepanjang hampir satu kilometer di sekitar Bukit Bintang yang bertujuan menghidupkan suasana malam bandar dengan paparan pencahayaan memukau, sekali gus menyerlahkan keindahan landskap bandar menggunakan teknologi moden dan lestari selaras dengan agenda bandar rendah karbon.
Projek itu menampilkan rekaan lampu diod pemancar cahaya (LED) berkonsepkan lampu gantung, lampu bulan serta rekaan bertema dongeng, menggunakan teknologi cekap tenaga dengan pemasangan lebih 70 lampu LED.
'I LITE U' ialah akronim kepada Infrastruktur, Lampu, Inovasi, Teknologi, mampan ke arah Urbanisasi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


