PM Anwar persoal kewajaran kutip cukai tambahan jika ketirisan dana awam masih berleluasa

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan sistem tadbir urus negara benar-benar bersih sebelum mengenakan sebarang bentuk cukai baharu.
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan kewajaran kerajaan mengenakan cukai tambahan kepada rakyat sekiranya hasil kutipan sedia ada masih tidak diurus dengan berhemah dan terus mengalami ketirisan besar.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan keperluan mengenakan cukai baharu kepada rakyat jika hasil kutipan sedia ada masih tidak diurus dengan berhemah dan terus mengalami ketirisan besar, sambil menegaskan keutamaan kerajaan ialah memastikan tadbir urus bersih.
- Beliau berkata sebanyak RM15.5 bilion dana awam telah berjaya dikembalikan dalam tempoh dua tahun hasil tindakan tegas terhadap penyelewengan, penyeludupan dan kegiatan sindiket, namun usaha itu masih diperlekehkan pihak pembangkang.
- Anwar menegaskan dasar ekonomi termasuk percukaian mesti berasaskan moral dan integriti, dan sebelum mempertimbang cukai baharu, kerajaan perlu membaiki sistem pentadbiran serta memastikan setiap wang rakyat dibelanjakan dengan amanah.
Beliau menegaskan, soal moral dan integriti mesti menjadi asas kepada sebarang dasar ekonomi termasuk percukaian kerana kerajaan tidak boleh mengharapkan rakyat terus menanggung beban tanpa jaminan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.
Anwar sekali lagi turut mengaitkan, hasil tindakan tegas penguatkuasaan telah berjaya mengembalikan sejumlah RM15.5 bilion dana awam dalam tempoh dua tahun.
Menurutnya, jumlah itu diperoleh daripada aktiviti penyelewengan termasuk penyeludupan, kegiatan sindiket dan kebocoran hasil kerajaan, sekali gus membuktikan bahawa ketirisan berlaku secara meluas sebelum ini.
Namun, kata Anwar, perkara yang mengejutkan ialah masih wujud pihak yang memperlekehkan usaha kerajaan mengekang rasuah dan penyelewengan itu, termasuk daripada blok pembangkang.
“Kalau kita ikuti perbahasan di Parlimen, hampir tiada sokongan kecuali daripada penyokong kerajaan, manakala pembangkang pula memperlekehkan usaha ini,” ujarnya.
Perdana Menteri turut mempersoalkan, bagaimana rakyat dan pemimpin sebelum ini boleh “membiarkan sampah ini berlarutan selama beberapa dekad”, merujuk kepada budaya ketirisan dan salah guna kuasa yang semakin menjadi barah.
Beliau menegaskan, sikap membisu dan kompromi terhadap amalan lama itu menyebabkan negara menanggung beban hutang besar serta kerosakan sistemik dalam pengurusan fiskal.
Anwar menambah, sebelum kerajaan menimbang sebarang langkah percukaian baharu, perkara utama yang perlu dilakukan ialah membaiki sistem pentadbiran dan memastikan setiap wang rakyat dibelanjakan dengan penuh amanah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami