Skip to main content

Malaysia

PM Anwar rakam ucapan takziah, sifatkan Esposito 'sahabat sejati dunia Islam'

[TB]_ John L. Esposito Anwar Ibrahim_FB ANWAR IBRAHIM
Anwar berkata persahabatannya dengan Esposito menjangkau lebih daripada lima dekad, setelah pertama kali bertemu pada awal 1970-an. - FB Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan ucapan takziah atas pemergian Profesor John L. Esposito, antara cendekiawan terkemuka dunia dalam bidang pengajian Islam.

Anwar menerusi hantaran di  laman Facebook hari ini berkata persahabatannya dengan Esposito menjangkau lebih daripada lima dekad, setelah pertama kali bertemu pada awal 1970-an.

Beliau berkata Esposito membina asas intelektual untuk memupuk pemahaman yang lebih mendalam tentang Islam di Barat, sambil menambah sumbangannya kepada perjuangan bagi mencapai persefahaman antara Muslim-Kristian adalah sangat besar.

Anwar berkata Esposito juga berperanan sebagai pengasas Pusat Pemahaman Muslim-Kristian di Georgetown University dan merupakan pengarang bersama "Makers of Contemporary Islam."

“Esposito ‘membina jambatan ketika orang lain cenderung membina halangan tamadun’,” kata beliau.  

Beliau berkata antara karya terulung Esposito termasuk "What Everyone Needs to Know About Islam" dan "Who Speaks for Islam?", membawa naskhah akademik kepada khalayak lebih meluas terutamanya selepas peristiwa 11 September, ketika dunia sangat memerlukannya.

Mengimbas keakraban yang terjalin antara mereka, Anwar menyifatkan Esposito sebagai seorang sarjana yang hebat dan sahabat setia dan amat menghargai segala nasihat yang diberikannya. 

Perdana Menteri berkata Esposito "seorang yang ramah dalam perbualan secara peribadi sepertimana dia tegas dalam menyampaikan mesej" dan sentiasa menyokong beliau dalam tempoh susah dan senang.

"Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah kepada isteri beliau, Jean, serta keluarga, rakan sekerja dan pelajarnya.

"Semoga ilmu dan dialog yang dibina sepanjang hayatnya terus memberi manfaat kepada dunia. Sehingga ke akhir hayatnya, beliau merupakan sahabat sejati dunia Islam," kata Anwar.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement