PM Anwar rasmi majlis penutupan Rancakkan MADANI

Perdana Menteri juga dijadual meluncurkan projek rakyat, iaitu Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insuran Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0. - Foto fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Majlis perasmian penutupan program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 hari ini diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyempurnakan penutupan program tiga hari itu.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyempurnakan penutupan program Rancakkan MADANI dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 dengan melancarkan projek Sahabat Penggerak MADANI dan Skim Insuran Kesejahteraan Rakyat 3.0.
- Program berlangsung selama tiga hari dengan lapan segmen utama termasuk Produk Rakyat MADANI, ARPA, dan Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk mempromosikan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.
- Terdapat forum-forum yang menampilkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, serta penampilan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk mengupas isu-isu penting berkaitan dengan Kerajaan MADANI.
Penganjuran program itu bagi mengangkat manisfestasi pencapaian dan kejayaan semasa Kerajaan MADANI, khususnya sepanjang 2025 serta mempromosi dan menyebar luas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA).
Program itu menampilkan lapan segmen utama, iaitu Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, ARPA, Kepengerusian ASEAN, Ukhwah Rakyat MADANI, Jualan MADANI, Belia MADANI dan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Perbadanan Produktiviti Malaysia.
Antara acara menarik pada hari ini, kemunculan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof pada forum kelima bagi mengupas perbincangan forum bertajuk Kerajaan MADANI: Retrospektif dan Memeta Perjalanan ke Hadapan.
Terdahulu pada 8.30 pagi, turut menyaksikan penampilan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki pada forum itu, mengupas mengenai Tiga Tahun Kerajaan MADANI: Perspektif Perkhidmatan Awam.
Antara pengisian hari terakhir di pentas utama termasuk sesi cabutan bertuah dan demonstrasi Cucian Lestari oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) serta Indah Water Konsortium (IWK).
Keseluruhan pengisian berkenaan bukan sahaja menyerlahkan usaha memperkukuh perpaduan, pendidikan, seni dan syiar Islam, tetapi juga usaha Kerajaan MADANI untuk memperlihatkan keberhasilan pentadbiran selama tiga tahun.
Selain pengisian dasar, pelbagai program tarikan telah disediakan sebagai penghargaan kepada pengunjung termasuk Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga bagi barangan keperluan seperti jualan 'balik ke sekolah' dan karnival kerjaya membabitkan 30 majikan dengan lebih 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan.
Antara majikan yang mengambil bahagian ialah FGV Holdings Bhd, SD Guthrie, Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional, Top Glove, Amanah Raya, Mandarin Oriental, Ranhill Technologies, West Port, Port of Tanjung Pelepas dan Columbia Asia sekali gus menjadikannya antara platform padanan pekerjaan terbesar menjelang penutup 2025.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


