Skip to main content

Malaysia

PM Anwar seru rakyat doa jerebu terkawal menjelang Hari Kebangsaan

FOTO SHAHIR
Anwar berkata, negara kini sedang membuat persiapan bagi menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
Advertisement

CYBERJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat mendoakan agar situasi jerebu di negara ini dapat dikawal bagi memastikan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia berlangsung dengan baik.

Perdana Menteri berkata, negara kini sedang membuat persiapan bagi menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

“Kita juga sedang bersiap sedia untuk menyambut kemerdekaan Malaysia dan berikutnya Hari Malaysia.

“Merdeka 31 Ogos dan Hari Malaysia 16 September. Kita doakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, mudah-mudahan jerebu lebih terkawal supaya sambutan boleh berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan Ulang Tahun Ke-80 Telekom Malaysia (TM) di sini pada Rabu.

Sementara itu, sebanyak 11 kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 7 malam Rabu.

Berdasarkan data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), IPD Serian mencatatkan bacaan tertinggi, iaitu 166, diikuti Samarahan (164) dan Sri Aman (162), kesemuanya di Sarawak.

Di Lembah Klang, Cheras merekodkan IPU 157, diikuti Nilai (155), Shah Alam (154), Batu Muda (152) dan Putrajaya (151).

Seremban pula mencatatkan bacaan IPU 149, Johan Setia (139), manakala Kuching merekodkan bacaan 105.

Sebanyak 50 lagi kawasan mencatatkan bacaan IPU sederhana, manakala enam kawasan merekodkan kualiti udara baik.

Malaysia berdepan situasi jerebu sejak 8 Ogos lalu, dengan beberapa kawasan di Sarawak antara lokasi terawal merekodkan kualiti udara tidak sihat.

 

Must Watch Video

Advertisement