PM Anwar tiba di Afrika Selatan bagi hadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20

Pesawat yang membawa Perdana Menteri Anwar tiba di Afrika Selatan pada 6.38 malam waktu tempatan pada Khamis (12.38 pagi Jumaat waktu Malaysia). - Gambar Bernama
PRETORIA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Afrika Selatan pada 6.38 malam waktu tempatan pada Khamis (12.38 pagi Jumaat waktu Malaysia) bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Kumpulan 20 (G20).
Pesawat membawa Anwar dan delegasi mendarat di Pangkalan Tentera Udara Waterkloof, Pretoria dan disambut oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan, Datuk Yubazlan Yusof bagi pihak Malaysia serta Timbalan Menteri Pertahanan dan Veteran Tentera Afrika Selatan, Mejar Jeneral (B) Bantubonke "Bantu" Harrington Holomisa dan Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Kerjasama untuk Asia Timur dan Oceania, Thandiwe Fadane yang mewakili Afrika Selatan.
Pretoria merupakan ibu kota pentadbiran bagi Afrika Selatan.
Dari sini, rombongan Perdana Menteri akan meneruskan perjalanan ke Johannesburg yang memakan masa kira-kira sejam.
Lawatan kerja beliau selama empat hari bermula 20 hingga 23 November ke Afrika Selatan adalah bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Johannesburg sebagai tetamu Presiden negara itu, Matamela Cyril Ramaphosa.
Perdana Menteri diundang atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Peranan Afrika Selatan sebagai Presiden G20 yang bertemakan "Solidarity, Equality, Sustainability" (Solidariti, Kesaksamaan, Kemampanan), juga dilihat bertepatan bagi sebuah negara sedang membangun mengemudi agenda global.
Lawatan Perdana Menteri juga secara strategiknya memperkukuh hubungan bersejarah Malaysia dengan Afrika Selatan selain memanfaatkan G20 sebagai pemangkin peringkat tertinggi untuk memperjuang agenda Global Selatan di persada dunia.
G20 dianggotai oleh negara-negara seperti Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Itali, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Rusia, Arab Saudi, Afrika Selatan, Turkiye, United Kingdom, Amerika Syarikat, Kesatuan Afrika dan Kesatuan Eropah.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, barisan pegawai kerajaan serta delegasi perniagaan Malaysia.
Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan negara pada Sesi 1 bertajuk "Inclusive and Sustainable Economic Growth Leaving No One Behind: Building Our Economies; the Role of Trade; Financing for Development; and the Debt Burden" (Pertumbuhan Ekonomi Terangkum dan Mampan Tanpa Sesiapapun Terpinggir : Membangunkan Ekonomi Kita; Peranan Perdagangan; Pembiayaan Pembangunan dan Beban Hutang), yang dijadual berlangsung pada pagi 22 November ini.
Pada sebelah petang, Anwar akan menyampaikan kenyataan negara pada Sesi 2 bertajuk "A Resilient World - the G20's Contribution: Disaster Risk Reduction; Climate Change; Just Energy Transitions; Food Systems" (Daya Tahan Dunia - Sumbangan G20 : Pengurangan Risiko Bencana; Perubahan Iklim; Peralihan Tenaga Yang Adil; Sistem Makanan).
Jadual beliau seterusnya adalah menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin-Pemimpin G20 yang dihoskan oleh Presiden Afrika Selatan, Ramaphosa di Pusat Ekspo NASREC.
Perdana Menteri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan pemimpin Afrika Selatan berkenaan pada hari kedua lawatan kerja itu.
Selain mesyuarat berkaitan G20, jadual padat Anwar juga termasuk sesi bertemu pemimpin Muslim Afrika Selatan dan menghadiri Forum Perniagaan bersama kalangan kapten atau pemimpin industri negara itu.
Kehadiran Perdana Menteri di negara itu juga memberi peluang untuk bertemu dengan kalangan diaspora Malaysia di Afrika Selatan.
Selain itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Botswana, Ndaba Nkosinathi Gaolathe.
Agenda lain Perdana Menteri adalah sesi ditemubual oleh Dr. Sizwe Mpofu-Walsh yang juga pensyarah universiti, "podcaster" atau pengaudio siar dan aktivis terkenal dengan perbincangan merangkumi topik seperti hubungan Malaysia-Afrika Selatan, sokongan utuh Malaysia terhadap perjuangan Palestin, aspirasi Malaysia menjadi anggota penuh BRICS serta pembaharuan tadbir urus global.
Pada hari terakhir lawatan, Perdana Menteri akan menghadiri Sesi 3 Sidang Kemuncak G20 bertajuk "A Fair and Just Future for All -- Critical Minerals; Decent Work; Artificial Intelligence" (Masa Depan Adil dan Saksama untuk Semua -- Mineral Kritikal; Pekerjaan Memuaskan; Kecerdasan Buatan."
Beliau dan delegasi Malaysia akan bertolak ke Nairobi, Kenya, bagi memulakan lawatan rasmi yang menjadi negara terakhir dalam siri lawatan ke benua Afrika itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


