PM Anwar tiba di Ankara untuk lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye

Perdana Menteri Anwar dan isteri, Wan Azizah Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga, Ankara, Turkiye, pada 7.13 malam (12.13 tengah malam Rabu waktu Malaysia). - Gambar Bernama
ANKARA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini, malam tadi, untuk lawatan rasmi tiga hari ke Turkiye bagi memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
Anwar yang juga Menteri Kewangan melawat Turkiye hingga 8 Jan atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Pesawat khas yang membawa Anwar dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga pada 7.13 malam (12.13 tengah malam Rabu waktu Malaysia).
Perdana Menteri diiringi Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Menyambut ketibaan Anwar di lapangan terbang itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal dan Menteri Pertahanan Turkiye, Yasar Guler, yang merupakan menteri pengiring.
Selepas tiba, Anwar menghadiri Majlis Sentuhan Kasih MADANI bersama diaspora Malaysia di sebuah hotel di sini.
Pada Rabu, Perdana Menteri antara lain dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Erdogan dan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pertama Majlis Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) Malaysia-Turkiye.
Anwar juga akan menyampaikan syarahan umum di Ankara dan melawat Istanbul, dengan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama ekonomi melalui sesi meja bulat bersama syarikat-syarikat Turkiye, serta sesi interaksi media bagi menggariskan hala tuju hubungan Malaysia-Turkiye.
Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, jumlah perdagangan Malaysia dengan Turkiye dari Januari hingga November 2025 mencecah RM21.2 bilion (AS$4.92 bilion) dan republik itu terus menjadi rakan ekonomi penting bagi Malaysia.
"Pada 2024, Turkiye merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar serta sumber import keempat terbesar dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan bernilai RM24.15 bilion (AS$5.28 bilion)," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


