ALOR SETAR: Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin berkenan meluangkan masa menyertai Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 yang diadakan di Dataran Masjid Zahir, pada Jumaat.
Baginda yang tiba kira-kira jam 7 malam, meluangkan masa selama 30 minit bagi beramah mesra bersama pengunjung yang berada di Dataran Medan Bandar yang terletak berhadapan dengan Masjid Zahir.
Advertisement
Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff bersama anakanda, Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.
Dalam majlis berkenaan, Raja Muda Kedah turut berkenan mengurniakan set makanan kepada pengunjung yang berbuka puasa di Dataran Medan Bandar.
Baginda bersama keluarga kemudiannya menyertai pengunjung berbuka puasa di Dataran Masjid Zahir, sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih di masjid negeri itu.
Iftar Ramadan Experience Kedah 2.0 merupakan acara tradisi yang diadakan saban tahun pada bulan Ramadan yang memberi peluang kepada rakyat di negeri Kedah meluangkan masa bersama keluarga untuk berbuka puasa di Dataran Medan Bandar pada hari Jumaat dan Sabtu setiap minggu.
Program anjuran Kedah Tourism ini telah berjaya menarik ribuan pengunjung pada edisi penganjurannya sebelum ini sekaligus menjadi antara tarikan unik kepada sektor pelancongan di Kedah.
Beberapa bentuk pengisian aktiviti keagamaan turut dianjurkan seperti sesi perkongsian ilmu agama oleh individu bertauliah seperti Mufti Negeri Kedah selain pameran-pameran daripada agensi kerajaan.