ISTANBUL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini malam ini untuk lawatan kerja dua hari ke Turki dan dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan, esok (Ahad).

Pesawat khas yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada 10.45 malam waktu tempatan (pukul 3.45 pagi Ahad waktu Malaysia)

Beliau diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir serta Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan.

Ketibaan Perdana Menteri disambut Duta Besar Malaysia ke Turki Sazali Mustafa Kamal, Menteri Penasihat dari Kedutaan Besar Malaysia di Ankara Clara Soon May Lynn dan Ahmad Hashim Mahmood, serta Atase Pertahanan Malaysia Kol Mohd Edafi Daud.

Menyambut ketibaan bagi pihak Turki ialah Timbalan Gabenor Istanbul Sevket Atli, Komander Gendermarie Kol Mesut Maden dan Ketua Jabatan Pejabat Kementerian Luar Istanbul Mehmet Zait Uzun.

Antara topik yang dijadual dibincangkan dengan Erdogan ialah mengenai kebimbangan isu Israel-Palestin yang semakin meningkat.

Pertempuran di Palestin baru-baru ini yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel telah mengakibatkan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak terkorban sejak 7 Okt.

Selepas pertemuannya dengan Presiden Erdogan, Anwar dijadual ke Kaherah, Mesir untuk bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan berbincang mengenai pembukaan laluan sempadan Rafah untuk membolehkan penyaluran bantuan makanan, minuman dan perubatan ke Palestin.

Sempadan Rafah terletak di antara Mesir dan Genting Gaza, Palestin.

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan kerja ke Turki dan Mesir mencerminkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi mengenai isu Palestin khususnya bagi meringankan penderitaan dan kesengsaraan dialami rakyat Palestin akibat krisis di Semenanjung Gaza yang masih berterusan.

Anwar baru sahaja menamatkan lawatan kerja dua harinya ke Riyadh bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang diadakan buat pertama kali sejak kedua-dua blok serantau itu menjalin hubungan pada 1990.

-- BERNAMA