Skip to main content
Advertisement

Malaysia

[TERKINI] PM Anwar Ibrahim kenang jasa Tun Dr Hasmah

Anwar Ibrahim & Tun Dr Siti Hasmah
Dr Siti Hasmah disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini pada usia 100 tahun. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa simpati kepada keluarga Tun Dr Mahathir Mohamad susulan pemergian isterinya, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia pagi ini.

Beliau berkata, negara turut kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa khususnya dalam kerja-kerja kebajikan dan usaha membantu rakyat sepanjang hayatnya.

“Saya mulakan acara tadi dengan membacakan Al-Fatihah dan mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.

“Dalam keadaan sekarang, kita simpati kepada keluarga Tun Mahathir dan seluruh keluarga. Kita juga mengenang jasa dan khidmatnya kepada negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas  menyampaikan ucaptama dan merasmikan International Future Conference 2026 di ISTAC-IIUM, Kuala Lumpur, di sini, pada Isnin.

Anwar berkata, Allahyarham Dr Siti Hasmah memainkan peranan penting ketika menjadi isteri Perdana Menteri dan sentiasa aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan.

“Tun Siti Hasmah aktif semasa menjadi isteri Perdana Menteri dan tentunya terlibat dalam kerja-kerja kebajikan serta menunjukkan keprihatinan terhadap masalah-masalah rakyat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menghadiri penghormatan terakhir atau pengebumian Allahyarhamah, Anwar mengesahkan akan berbuat demikian.

“Ya,” katanya ringkas.

Allayarham Dr Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pagi ini.

Berita duka itu disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926, beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Julai lalu.

Beliau merupakan antara tokoh wanita paling disegani di negara ini dan dikenali atas sumbangannya dalam bidang perubatan, kebajikan masyarakat serta sokongan berterusan terhadap perjalanan kerjaya politik suaminya, Dr Mahathir.

Must Watch Video

Advertisement