MALAYSIA
PM Anwar umum dana bantuan RM100 juta untuk Gaza

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan Syarahan Umum 'Malaysiaku Bersama Gaza' sempena Karnival Sumud Nusantara 2025 di Dataran Merdeka hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan dana bantuan berjumlah RM100 juta untuk Gaza.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum tambahan dana RM100 juta untuk Gaza dan gesa syarikat swasta turut menyumbang.
- Anwar kecam kekejaman Israel, menyifatkan tindakan rejim Zionis lebih teruk daripada haiwan serta menyelar sikap Netanyahu.
- Beliau seru rakyat, khususnya anak muda, bersatu membina kekuatan bangsa demi membantu perjuangan rakyat Palestin.
Anwar pada masa sama menyeru syarikat-syarikat swasta agar turut prihatin terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Saya akan minta rakan-rakan dari syarikat negara kita untuk terus membantu. Mereka telah bantu sebelum ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, malam Ahad.
Sementara itu, di hadapan ribuan pengunjung yang hadir, Anwar turut menyifatkan tindakan rejim Zionis Israel sama seperti haiwan.
Beliau juga menyelar sikap Perdana Menteri Israel yang dianggapnya kurang siuman apabila dengan mudah menuduh warga Gaza terlibat dengan aktiviti Hamas.
“Ini bukan manusia ini haiwan, orang lapar mati kebuluran, bahan makanan di sempadan tak boleh masuk, orang sakit perlu ubat.
“(Tetapi) Ubatnya dipagar, tidak boleh masuk, manusia paling teruk pun tidak sebegini.
“Nentanyahu dan kelompoknya memang kurang siuman, zalim pun sanggup dipertahankan, anak-anak kecil pun (dituduh) Hamas,” katanya.
Perdana Menteri turut menyeru kepada kesatuan masuarakat dalam mendepani isu Gaza agar dapat menghulurkan bantuan dan menghentikan kesengsaraan warganya.
“Jangan tanam bibit-bibit kebencian dan perpecahan di kalangan kita. Bina kekuatan baru, kepada anak-anak muda saya pesan bangkit jaga negara ini biar benar merdeka, biar naik martabat, harakat bangsa negara, baru boleh bantu yang lain,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami