PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperuntukkan RM1 bilion bagi mempercepat usaha pendigitalan sektor kesihatan awam di seluruh negara, susulan arahan Perdana Menteri untuk meningkatkan dana berkenaan daripada cadangan asal RM650 juta.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dana tersebut akan digunakan secara khusus untuk memperluas penyediaan akses internet termasuk kemudahan WiFi awam serta pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di hospital dan klinik kesihatan kerajaan.
Jelas beliau, inisiatif EMR itu dirangka berasaskan kejayaan pelaksanaan projek rintis (Proof of Concept - POC) yang telah dijalankan di Klinik Kesihatan Padang Besar sebelum ini.
"Di situ, doktor kini boleh mendapatkan maklumat mengenai pesakit tanpa merujuk dokumen fizikal. Jadi, semuanya diusahakan secara elektronik. Ini menjimatkan masa bagi mereka yang ingin mendapatkan rawatan.
"Sebelum ini... yang telah diumumkan adalah sebanyak RM650 juta, tetapi Perdana Menteri telah minta dinaikkan dari RM650 juta ke RM1 bilion," kata beliau kepada media selepas majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai sasaran pelaksanaan, Fahmi memaklumkan bahawa kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut bagi mempercepat dan memperluas liputan fasiliti yang terlibat.
"Pada peringkat awal, sebanyak 15 hospital dijangka akan dapat diselesaikan, tetapi saya akan minta supaya angka ini dinaikkan lagi dan daripada 2,000 klinik kesihatan, kita akan cuba untuk pertingkatkan jumlah yang dapat diuruskan bagi tahun ini," tambah beliau.
Selain pendigitalan fasiliti kesihatan, Fahmi turut menyentuh mengenai inisiatif kecerdasan buatan (AI) percuma untuk generasi muda yang diumumkan Perdana Menteri, dengan menyifatkannya sebagai peluang besar untuk memperkasa kemahiran digital anak muda tempatan.
"Seperti yang Perdana Menteri umumkan, ada ruang untuk 100,000 anak muda berusia 18 ke 30 tahun yang sekiranya mereka memasuki program AI Untuk Rakyat seperti yang telah diumumkan tadi... maka mereka layak untuk mendapat langganan percuma tiga bulan tiga aplikasi AI yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri.
"Nanti maklumat terperinci saya percaya akan diterbitkan oleh Kementerian Digital," jelas Fahmi.
Inisiatif digitalisasi kesihatan dan program latihan AI itu merupakan sebahagian daripada enam ikhtiar segera kerajaan bersempena Hari Kebangsaan, yang dijadualkan berkuat kuasa serentak bermula 1 September 2026.