MERSING: Kerajaan mengarahkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menghasilkan dua jenis benih padi yang meningkatkan tahap kualiti pengeluaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu diperlukan apabila melihat kepada cuaca di negara ini yang dalam keadaan tidak menentu.

“Kita sebagai negara yang tidak menentu (cuaca), kadang-kadang padi sedang meranum, adakalanya ditenggelami air dan akhirnya padi musnah.

“Saya minta MOSTI untuk lihat sekiranya berlaku banjir sekalipun, tanaman padi pesawah tak akan rosak bila tenggelam untuk beberapa ketika,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Benih Padi IS21 di Felcra Sri Mahkota, Endau pada Rabu.

Selain itu, Ismail Sabri turut menggesa kajian untuk menghasilkan benih padi yang tidak memerlukan kuantiti air yang banyak.

Ujarnya, kajian ini juga telah dilakukan pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) namun penghasilan benih masih dalam kuantiti yang rendah.

“Tanaman di sawah tak perlukan takungan air yang banyak dan ia hanya perlu disiram seperti pokok bunga.

“Jadi tak perlu tali air dan hanya boleh guna seperti penyembur air sama seperti tanaman sayuran yang gunakan kaedah itu,” katanya lagi.

Tambah Perdana Menteri, usaha itu juga bertujuan untuk memastikan golongan pesawah tidak terbeban dengan kos yang tinggi , sebaliknya mampu meraih keuntungan.

Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, MOSTI akan bekerjasama dengan Agensi Angkasa Negara Malaysia (Angkasa) untuk mengenal pasti tanah-tanah yang sesuai untuk penanaman dua jenis benih padi tersebut.

Bercakap mengenai benih padi IS21, kajian itu juga sebelum ini dimulakan pada 2017 sebelum dikeluarkan sepenuhnya pada 2021.