KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memastikan kesemua aduan yang telah disampaikan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika program Kembara Kenali Borneo akan diselesaikan secara tuntas.

Kesemua aduan yang telah disalurkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika program Kembara Kenali Borneo akan diselesaikan secara tuntas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesemua surat berhubung isu yang berbangkit akan diteliti sebaik mungkin.

Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak sambil berseloroh turut menyatakan, beliau kini perlu memikul tanggungjawab terhadap kesemua aduan yang telah dikemukakan sebaik sahaja ia (aduan) diserahkan sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Saya selaku Perdana Menteri terbeban dari lawatan itu (Kembara Kenali Borneo) kerana Baginda berikan semua surat-surat yang dihantar terus kepada baginda Tuanku.

“Begitulah kasih rakyat dan saya terpaksa pikul beban yang tebal (sambil berseloroh) dan saya nak berikan jaminan... Insya-Allah saya akan arahkan seluruh jentera teliti setiap surat dan akan kita cuba selesaikan sebaiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut berkongsikan penghargaan Yang di-Pertuan Agong yang menzahirkan rasa sebak apabila melihat kepada sambutan rakyat di Sabah dan Sarawak ketika sesi kembara berkenaan.

“Baginda masih sangat terkesan, bicara dengan penuh perasaan, bergelinang air mata kerana terpegun dengan kasih sayang yang ditunjukkan rakyat kepada baginda berdua,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Al-Sultan Abdullah berkenan membaca setiap surat dan petisyen yang dipersembahkan oleh rakyat Sabah dan Sarawak sewaktu program berkenaan yang berlangsung selama 11 hari.

Kembara itu yang diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak.

Jelajah selama 11 hari itu melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak dan Brunei.