JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melakukan tinjauan mengejut ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru.

Lawatan tersebut turut disertai Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau, Perdana Menteri memaklumkan kompleks berkenaan sudah kembali pulih selepas sempadan negara dibuka semula sepenuhnya.

Beliau turut mendapati kemudahan-kemudahan termasuk pengangkutan awam dalam keadaan baik kecuali kerosakan eskalator dan 'autogate' untuk pemegang pasport Malaysia.

"Kekurangan ini perlu diselesaikan segera untuk kemudahan Keluarga Malaysia dan pengembara dari luar kerana ia merupakan salah satu pintu masuk utama negara," kata beliau.

Onn Hafiz menerusi laman Facebook pula menzahirkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang sudi turun padang melihat sendiri keadaan di CIQ berkenaan.

Beliau berharap dengan lawatan itu akan membawa limpahan rahmat kepada pengguna.

Pada 20 Mei lalu, Onn Hafiz bertindak membuat penyamaran sebagai orang awam untuk melihat sendiri proses memasuki Singapura dari Johor Bahru.

Onn Hafiz ketika itu memasuki republik berkenaan menggunakan bas awam secara sendirian.

Sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura telah dibuka sepenuhnya bermula 1 April lepas yang mana dilihat begitu memberi manfaat khususnya kepada pengguna perjalanan darat antara kedua-dua negara.